Pelancongan sumbang RM41.69 bilion pada separuh pertama 2019
Bernama
Ogos 23, 2019 20:08 MYT
Ogos 23, 2019 20:08 MYT
Malaysia menerima 13.35 juta pelancong antarabangsa dan merekodkan pertumbuhan perbelanjaan pelancong 6.8 peratus, sekali gus menyumbang RM41.69 bilion kepada pendapatan negara pada separuh pertama 2019.
Dalam kenyataan hari ini, Tourism Malaysia berkata prestasi pelancongan turut merekodkan pertumbuhan dari segi perbelanjaan per kapita, yang meningkat 1.9 peratus kepada RM3,121.6 manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) meningkat 0.4 malam kepada 6.2 malam.
Ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia dari 10 negara utama adalah Singapura (5,381,566), Indonesia (1,857,864), China (1,558,782), Thailand (990,565), Brunei (627,112), India (354,486), Korea Selatan (323,952), Filipina (210,974), Vietnam (200,314) dan Jepun (196,561).
"Ketibaan pelancong dari ASEAN terus mendominasi bahagian ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia iaitu 70 peratus. Bagi pasaran jarak sederhana dan jarak jauh pula masing-masing menyumbang sebanyak 20.8 peratus dan 9.2 peratus.
"Secara keseluruhannya, prestasi ketiga-tiga pasaran jarak dekat, sederhana dan jauh masing-masing mencatatkan peningkatan 4.7 peratus, 7.1 peratus dan 1.8 peratus, berbanding separuh pertama 2018," menurut agensi itu.
Tourism Malaysia berkata perbelanjaan paling tinggi yang dicatatkan pelancong dari lima negara teratas ialah Singapura (RM11.56 bilion), China (RM7.09 bilion), Indonesia (RM5.71 bilion), Thailand (RM1.70 bilion) dan Brunei (RM1.52 bilion).
Perbelanjaan per kapita tertinggi adalah dicatatkan oleh pelancong dari Arab Saudi (RM11,376.9), United Kingdom (RM5,241.5), Kanada (RM4,593.1), China (RM4,546) dan Amerika Syarikat (RM4,537.9), menurutnya.
Selain itu, ia berkata pelancong yang mencatatkan ALOS paling lama adalah dari Arab Saudi (10.5 malam), Perancis (8.7 malam), Jerman (8.3 malam), Netherlands (8.1 malam) dan Kanada (7.7 malam).
Pada 2018, Malaysia menerima 25.8 juta ketibaan pelancong dan jumlah perbelanjaan pelancong sebanyak RM84.1 bilion, menjadikan negara ini sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia.
-- BERNAMA