Pelancongan Sabah: Pemain industri digesa ceburi bidang lain tampung kos sepanjang PKPD
Astro Awani
Oktober 23, 2020 11:00 MYT
Oktober 23, 2020 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain industri pelancongan di Sabah digalakkan menceburi industri akuakultur, agrokultur mahupun logistik menggunakan fasiliti sedia ada untuk menampung kos sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pemain industri agensi pelancongan, Tonny Chew berkata ia usaha selain promosi berpanjangan dan tawaran harga istimewa kepada pelancong tempatan selepas PKPD berakhir kelak.
"Cuma sekarang disebabkan kes ini meningkat, jadi PKPD dilaksanakan dan buat masa ini tidak ada apa dapat dibuat.
"Tetapi pemain syarikat disaran untuk menceburi akuakultur, agrokultur mahupun logistik dengan menggunakan fasiliti sedia ada," katanya semasa dihubungi, di sini, pada Jumaat.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata PKPD di enam kawasan di Semporna dan satu lokasi di Kunak, Sabah yang berakhir hari ini dilanjutkan dari 24 Oktober hingga 6 November depan.
Ismail berkata setakat ini penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati masih terdapat penularan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, kata Tonny, pandemik yang bermula sejak awal tahun itu menyebabkan kebanyakan pemain industri pelancongan kehilangan pendapatan akibat ketiadaan pelancong.
Jelasnya, impaknya akan menjadi lebih parah dan kebanyakan industri tidak dapat bertahan lama jika COVID-19 ini berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang.
#pelancongan di Sabah
#agrokultur
#pemain industri
#akuakultur
#PKPD
#Tonny Chew
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#perintah kawalan pergerakan
#ismail sabri yaakob