Pelancongan: Pengusaha premis penginapan disaran sediakan kit ujian kendiri COVID-19

Hafizi Rosli
Oktober 13, 2021 12:58 MYT
Pengerusi Ikatan Komunti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan agar pengusaha premis penginapan sediakan kit ujian kendiri untuk kurangkan risiko penularan jangkitan di premis mereka - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selain memastikan pengunjung atau pelancong yang tiba ke premis penginapan seperti hotel sudah lengkap divaksin, pengusaha juga disaran menawarkan kit ujian saringan kendiri untuk pelanggan mereka.
Jelas Pengerusi Ikatan Komunti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, walaupun tidak diwajibkan, ia merupakan satu langkah yang baik bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan di premis mereka.
"Dalam hal ini pengusaha hotel boleh sediakan kit ujian kendiri kepada mereka yang tiba ke premis.
"Namun walaupun ia tidak diwajibkan, ia sebagai langkah yang baik untuk memastikan risiko penularan jangkitan dapat dikurangkan," katanya dalam temubual di Buletin AWANI pada Rabu.
Rentas Negeri | Aspek keselamatan dan kesihatan jadi keutamaan
Jelas Lam Thye lagi, kos ujian kendiri itu juga perlu diturunkan supaya golongan tidak berkemampuan juga dapat menjalankan saringan ini.
Akses kepada orang ramai juga penting dan beliau turut menyarankan agar ia boleh didapati di pelbagai premis kedai serbaneka dan tidak hanya di farmasi sahaja.
Ia selaras dengan norma baharu, untuk memastikan pengguna sentiasa menyaring kesihatan mereka, sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau tidak.
Beliau turut mengulas mengenai kebenaran rentas negeri ini dimana adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk turut menjalankan ujian kendiri terutama sebelum pulang berjumpa ibu bapa serta warga emas.
Ia sebagai langkah pastikan keselamatan diri serta orang tersayang selamat daripada jangkitan wabak membunuh itu.
#COVID-19 #pelancongan #rentas negeri #kit ujian kendiri
;