Pelancongan, pendidikan dan pengecualian visa bagi warga M'sia antara dibincang di Qatar

Bernama
Mei 16, 2017 08:45 MYT
Pada Oktober 2016, Datuk Seri Anifah Aman menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, di Wisma Putra, Putrajaya. -- fotoBERNAMA
Pelancongan, pendidikan, pelaburan dan pengecualian visa bagi rakyat Malaysia adalah antara isu yang dibincangkan semasa lawatan rasmi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Qatar.
Lawatan ke Qatar dari 13 hingga 17 Mei untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar adalah atas jemputan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani.
Semasa lawatan itu, Anifah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sheikh Mohammed dan menghadap Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani serta melakukan kunjungan ke atas Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al-Thani.
Mesyuarat dan kunjungan tersebut bertujuan untuk mengeratkan dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Qatar.
Ketika menghadap Emir Qatar, Anifah menyampaikan salam daripada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia dan mengulangi bahawa Malaysia mengalu-alukan lawatan negara Emir Qatar ke Malaysia pada 16 dan 17 Okt 2017.
Semasa bertemu Sheikh Abdullah, Anifah juga melahirkan pandangan bahawa terdapat potensi besar untuk kerjasama antara kedua-dua negara terutama dalam bidang pelancongan, pelancongan kesihatan dan pelaburan.
Kedua-dua negara bersetuju untuk memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani semasa lawatan negara Emir Qatar ke Malaysia.
Dalam pada itu, ketika mengadakan perjumpaan dengan Sheikh Mohammed, perbincangan tertumpu kepada isu dua hala, serantau dan global seperti krisis Amerika Syarikat-Korea Utara, Laut China Selatan dan konflik di Palestin, Syria dan Yaman serta pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Kedua-dua Menteri Luar juga mengulangi komitmen untuk meneruskan kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar.
-- BERNAMA
#Anifah Aman #Qatar #Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani #Sheikh Tamim Hamad Al-Thani
;