Pelancongan P. Pinang dijangka catat pemulihan keluk 'V' pasca COVID-19

Bernama
Oktober 23, 2020 18:41 MYT
Kerajaan Pulau Pinang percaya sektor pelancongan negeri itu akan menyaksikan pemulihan dalam keluk berbentuk 'V' selepas berakhirnya pandemik COVID-19. - Gambar hiasan
BALIK PULAU: Kerajaan Pulau Pinang percaya sektor pelancongan negeri itu akan menyaksikan pemulihan dalam keluk berbentuk 'V' (pemulihan yang cepat dan berterusan) selepas berakhirnya pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, keyakinan itu bagaimanapun bersandarkan kepada penemuan vaksin serta jaminan keselamatan untuk orang ramai melancong.
Sekalipun penularan COVID-19 menyekat pergerakan masyarakat, masih ramai yang berharap dapat melancong apabila pandemik berakhir, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjejaskan sektor pelancongan domestik Pulau Pinang kerana kebanyakan pelancong tempatan yang mengunjungi negeri itu datang dari Lembah Klang yang kini di bawah PKPB.
Mengulas perkembangan lain, Yeoh berkata, kerajaan negeri akan terus mengembangkan industri kreatif dan menjadikannya sebagai bahagian mampan ekonomi Pulau Pinang selain mengekalkannya sebagai identiti unik negeri itu.
"Pelancongan adalah satu cara terbaik untuk membantu mempromosikan seni kreatif di Pulau Pinang dan sebagai balasannya, seni kreatif akan membantu menjana pendapatan kepada negeri dan juga artis," tambahnya.
Terdahulu, Yeoh bersama Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), Ashwin Gunasekeran melawat bengkel pembuatan Batek-Lah Collection di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau. - BERNAMA
#pulau pinang #sektor pelancongan #keluk V #pandemik COVID19 #seni kreatif
;