Pelancongan jana RM41.69 bilion dari Januari ke Jun 2019
Bernama
November 2, 2019 05:34 MYT
November 2, 2019 05:34 MYT
Ketibaan pelancong di Malaysia mencatat jumlah 13.35 juta antara Januari dan Jun tahun ini, peningkatan 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata hasil pelancongan pula dicatat pada jumlah RM41.69 bilion, peningkatan sebanyak 6.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Pelancongan kebudyaan di Malaysia turut berkembang baik dan menjana pendapatan purata RM551 juta bagi tiga tahun lepas," katanya semasa merasmikan Daiichi Modern Art Gallery 20th Anniversary International Academic Art Exhibition di sini pada Sabtu.
Muhammad Bakhtiar berkata kementeriannya, MOTAC, akan terus menyokong aktiviti kesenian dan kebudayaan sebagai sebahagian daripada kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
"Bersempena dengan 'Visit Malaysia 2020', saya mengalu-alukan usaha Daiichi Modern Art Gallery untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, khususnya pencinta dan pengumpul bahan seni yang menikmati karya seniman tempatan Malaysia," katanya.
Mengenai pameran itu yang berlangsung mulai Sabtu hingga 30 Nov, beliau berkata 45 karyawan dari 16 negara menyertainya termasuk China, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea, Lebanon, Singapura, Sweden, Taiwan dan Thailand.
-- BERNAMA
#kementerian pelancongan
#MOTAC
#Muhammad Bakhtiar Wan Chik
#pelancong
#pelancongan
#tahun melawat malaysia