Pelancongan dunia tidak akan pulih seperti prapandemik sehingga 2024 - PBB
Astro Awani
Januari 19, 2022 15:13 MYT
Januari 19, 2022 15:13 MYT
INDUSTRI pelancongan seluruh dunia dijangka kembali kepada situasi prapandemik (sebelum wujudnya pandemik COVID-19) paling awal pada 2024.
Lapor Pertubuhan Pelancongan Sedunia dalam satu kenyataan pada Selasa, ia kerana varian Omicron dilihat mengganggu proses pemulihan pada awal 2022 selepas tahun lepas menyaksikan pertumbuhan empat peratus berbanding pada 2020.
Berdasarkan Barometer Pelancongan Dunia PBB yang berpangkalan di Madrid itu, hasil kutipan sektor pelancongan pada 2020 turun mendadak sebanyak 72 peratus berbanding tahun sebelumnya yang terjejas teruk akibat bermulanya pandemik COVID-19.
"Kadar pemulihan kekal perlahan dan tidak sekata di seluruh dunia disebabkan oleh perbezaan sekatan yang dikenakan, jurang kadar vaksinasi dan keyakinan pelancong untuk mengembara," jelas UNWTO.
Di Eropah dan Amerika, ketibaan pelawat asing masing-masing melonjak sebanyak 19 peratus dan 17 peratus, tahun lepas berbanding 2020.
Manakala di Asia Barat, ketibaan pelancong merosot sebanyak 24 peratus pada 2021, manakala di rantau Asia Pasifik pula adalah 65 peratus lebih rendah berbanding sewaktu 2020, dan menurun 94 peratus berbanding pada tahap pra-pandemik.
Kenyataan itu turut menyebut pakar industri pelancongan "melihat prospek yang lebih baik" untuk tahun ini selepas ancaman pada bulan pertama akibat daripada gelombang varian Omicron.
Agensi itu meramalkan peningkatan 30 hingga 78 peratus dalam ketibaan antarabangsa tahun ini sepanjang 2021, sementara kekal jauh di bawah paras pada 2019.
Kebanyakan pakar mengatakan mereka tidak meramalkan kembali ke tahap pra-pandemik sehingga sekurang-kurangnya menjelang 2024.
Perkara ini memberikan petanda yang tidak diingini oleh kebanyakan negara yang sangat bergantung kepada sektor pelancongan dan tidak sabar menantikan semuanya kembali seperti lazimnya.