Pelancongan domestik rancak sempena pembukaan sempadan, Jeli tinjau prospek penambahbaikan
Vivi Sumanti
Mac 19, 2022 12:26 MYT
Mac 19, 2022 12:26 MYT
JELI: Industri pelancongan tempatan dijangka melonjak sempena dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, pelancongan domestik menjadi tumpuan rakyat tempatan selepas fasa peralihan Pelan Pemulihan Negara.
Dalam usaha pemulihan sektor pelancongan, ia menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan tumpuan pelancongan dalam negara.
"Sebahagian rakyat memilih melancong dalam negara dengan mengunjungi destinasi pelancongan dalam negara termasuk di kawasan saya iaitu Jeli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Bukit Salor, salah satu destinasi pelancongan di jajahan Jeli di sini pagi.
Sempena perasmian dataran itu, Mustapa turut menyertai dan melepaskan lebih 100 peserta larian mendaki Bukit Salor.
Jelasnya, beberapa destinasi pelancongan dalam negara akan ditambah baik termasuk lokasi pelancongan di Jeli yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan.
"Pembukaan sempadan negara pada 1 April depan dijangka melonjak pelancongan domestik, yang mana pelancongan domestik sedang meningkat dan memberangsangkan pada masa ini," katanya.
Di Jeli katanya, ada pintu sempadan negara Malaysia-Thailand di Buketa dan Bukit Bunga yang menjadi pintu masuk dari negara Thailand ke negara ini.
"Pintu masuk ketiga selepas Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai ada di Jeli iaitu Bukit Bunga-Buketa, selatan Thailand yang boleh diseberangi melalui Jambatan Muhibbah antara kedua-dua negara," katanya.
"Jeli mempunyai beberapa lokasi menarik yang berpotensi menarik kedatangan pelancong termasuk, kawasan rekreasi Bukit Salor, Gunung Reng, Kolam Air Panas Batu 10, Lata Renyuk, Lata Janggut dan Lata Keding.
"Penambahbaikan dari aspek-aspek tertentu masih boleh dipertimbangkan bersesuaian dengan konsep dan persekitaran," katanya lagi.
Destinasi seumpama itu, menurut Mustapa, dapat dijadikan kawasan riadah bagi anak muda dan warga emas pada hujung minggu.
"Jeli kini semakin rancak dan sedang pesat membangun sesuai sebagai tempat untuk tarikan pelancongan domestik," tambahnya.
Bagi tujuan tersebut, Mustapa menjelaskan lebih sejuta diperuntukkan untuk membangunkan fasiliti dan kemudahan termasuk jalan raya, tandas dan wakaf di lima destinasi pelancongan dalam jajahan Jeli.