Pelancongan domestik Malaysia catat pertumbuhan tertinggi di ASEAN - Agoda
Bernama
Julai 8, 2021 05:08 MYT
Julai 8, 2021 05:08 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan terbesar dalam pasaran pelancongan domestik di kalangan negara-negara ASEAN pada separuh kedua tahun lepas (separuh kedua 2020) apabila sekatan dilonggarkan.
Naib Presiden Pembangunan Korporat Agoda, Tim Hughes berkata ketika negara itu membuka sektor pelancongannya pada separuh kedua 2020, Malaysia mencatat pertumbuhan tertinggi dalam pasaran pelancongan domestiknya.
'Walaupun terdapat banyak penurunan dalam tempahan (di semua negara), keinginan untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan adalah sangat jelas di semua wilayah di negara ini dan kami menyaksikan ada destinasi yang tidak pernah masuk dalam senarai 10 terbaik kami tiba-tiba menjadi tumpuan dan tersenarai.
Beliau berkata demikian semasa persidangan maya Invest ASEAN 2021 Maybank yang bertajuk 'Captains Speak - Is ASEAN Tourism Dead?' pada Khamis.
Permintaan pengguna untuk perjalanan adalah amat ketara dan syarikat telah memberi tumpuan bagi mengembangkan produk yang fleksibel untuk memenuhi pasaran domestik.
Ini merangkumi merekrut bakat muda dan menyediakan program latihan termasuk program penggunaan jurutera di Thailand, sambil bekerja pada kadar yang lebih pantas bagi menguji proses dan produk baharunya di platformnya dengan menggunakan analisis data
Walaupun Hughes yakin dengan prospek perjalanan serta percutian tempatan, perjalanan membabitkan perniagaan bagaimanapun belum diketahui kerana kos di segmen ini agak tinggi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Central Plaza Hotel Group, Markland Blaiklock memberitahu kumpulan itu yang memiliki 51 peratus rangkaian hotel di Thailand tetap komited untuk membuka semula hotelnya di Phuket, Koh Samui dan Bangkok.
Sebelum membuka Phuket untuk pelancong yang sudah menerima vaksin pada 1 Julai lepas, pemerintah Thailand dan industri sudah membuat persiapan rapi yang mana, ini meningkatkan semangat pekerja dalam industri berkenaan.
"Ianya sangat menggalakkan. Protokol-protokol yang diperkenalkan pemerintah dan dikuatkuasakan, merupakan komitmen yang anda berikan kepada tetamu bagi menyediakan persekitaran yang terjamin," kata Blaiklock.
Bagaimanapun, kemungkinan pelancong asing terkena COVID-19 adalah perkara yang di luar kemampuan pemerintah.
"Inilah sebabnya mengapa protokol ini penting untuk segera mengasingkan individu yang dijangkiti tetapi pada masa yang sama tidak sampai menghentikan operasi industri," katanya.
Beliau masih menekankan hayat pelancongan di ASEAN masih belum berakhir dan berharap Malaysia dapat membangun serta melaksanakan langkah yang serupa bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan dengan cepat, dengan memberi tumpuan di tempat-tempat pelancongan utama seperti Pulau Pinang, Melaka dan Sabah.
Sementara itu, Setiausaha Pembangunan Pelancongan, Jabatan Pelancongan Filipina, Benito C Bengzon Jr berkata memandangkan kes positif pasti akan berlaku, pemerintah perlu memastikan bahawa selain pengasingan untuk pelancong yang terkena, tindakan perubatan yang diperlukan juga wajar diberikan keutamaan.
Walaupun Filipina masih menutup perbatasan antarabangsanya, kerajaan secara perlahan-lahan sedang memulihkan sektor itu dengan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik sambil mendorong imuniti kawanan yang lebih tinggi
"Kami mempunyai angka pelancong domestik terbesar, yang mana 110 juta perjalanan domestik dicatatkan sebelum wabak.
"Kami berharap pelancongan domestik akan terus membantu perusahaan sedia ada beroperasi dan akhirnya memulihkan pendapatan terutama di peringkat masyarakat," kata Bengzon.
-- BERNAMA
#pelancongan
#pelancongan domestik
#sekatan dilonggarkan
#ASEAN
#COVID-19
#sektor pelancongan
#vaksin
#rakyat Malaysia
#pelancong
#Malaysia
#agoda
#pertumbuhan
#senarai 10 terbaik
#Destinasi pelancongan
#perjalanan
#hotel
#penurunan tempahan
#Invest ASEAN 2021 Maybank