Pelancongan dalam negeri dibenarkan di negeri Fasa 2 dan seterusnya bagi individu lengkap divaksin - PM
Astro Awani
Ogos 8, 2021 17:27 MYT
Ogos 8, 2021 17:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap di negeri-negeri dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata aktiviti pelancongan tersebut melibatkan penetapan di homestay dan juga hotel.
Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pengusaha premis serta pengunjung bagi aktiviti berkenaan selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya menerusi pengumuman khas mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap hari ini.
Jelas Perdana Menteri, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021.
“Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” tambahnya.
#aktiviti pelancongan
#Fasa dua
#PPN
#dua dos
#vaksinasi lengkap
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#hotel
#homestay
#COVID-19