Pelancong warga China lemas ketika aktiviti menyelam di Semporna
Ridzal Abdullah
Mac 10, 2025 08:20 MYT
Mac 10, 2025 08:20 MYT
Seorang pelancong warga China disyaki lemas selepas selesai melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, di Semporna, semalam. - Foto PDRM
SEMPORNA: Seorang pelancong warga China disyaki lemas selepas melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa lelaki berusia 34 tahun ditemui terapung oleh jurulatih selam di permukaan air, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.36 petang.
Katanya, pengadu iaitu jurulatih selam telah memaklumkan kematian seorang pelancong warga China disyaki lemas ketika menyelam di perairan pulau berkenaan.
“Sebelum kejadian, pengadu bersama seorang lagi jurulatih telah membawa lima penyelam di kedalaman 12 meter di perairan Pulau Mabul, pada jam 10.50 pagi.
“Kira-kira jam 12.30 tengah hari aktiviti selesai dan semua penyelam naik dan menyerahkan peralatan termasuk mangsa,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Selepas itu, katanya, mangsa masih berenang berlegar-legar di permukaan air sekitar bot. Namun, apabila semua telah naik ke bot, pengadu dapati mangsa tiada di atas bot.
“Selepas membuat pemeriksaan, mangsa didapati terapung di permukaan air dalam keadaan badan dan muka terlangkup.
“Dengan bantuan penyelam yang lain, mangsa diangkat ke atas bot dan mereka cuba memberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Semporna,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Berikutan kejadian tersebut, Mohd Sabri berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekiranya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut jenazah bagi mengelakkan mayat mangsa reput teruk.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Ketua Balai Polis Bum-Bum ASP Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah yang berhampiran,” katanya.