Pelancong wanita warga China lemas ketika bersnorkel
Ruzaini Zulkepli
Januari 8, 2019 17:37 MYT
Januari 8, 2019 17:37 MYT
Keseronokan tiga sekawan warga China bercuti di negeri ini bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka ditemui lemas ketika beriadah di Pulau Mengalum, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam kenyataan berkata, pelancong wanita yang dikenali sebagai Chen Shao Ling, 26, itu dikatakan bersama dua lagi rakannya mengadakan aktiviti snokerling di pulau tersebut sebelum insiden berkenaan.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 12.35 tengah hari Isnin itu, mangsa dipercayai telah tersedak air dan dipukul ombak.
"Pemandu pelancong yang melihat kejadian itu segera menarik mangsa ke pantai dan memberikan bantuan pernafasan tetapi tiada tindak balas.
"Panik dengan insiden itu, pemandu bot dan pemandu pelancong terus membawa mangsa ke Jeti Marina Sutera Harbour dan sepasukan petugas perubatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.02 petang, " katanya.
Jelas Habibi, mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat sebelum diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#China
#Hospital
#Kota Kinabalu
#lemas
#meninggal dunia
#pelancong
#perubatan
#polis
#Pulau Mengalum