Pelancong tidak berminat ke Langkawi jika pulau itu kotor - Tun Mahathir

Astro Awani
September 23, 2021 14:20 MYT
Dr Mahathir juga menjelaskan, Langkawi dapat kembali jadi destinasi pelancongan yang ulung dan ternama seperti dulu jika berjaya menangani COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar pentadbiran pulau itu bergotong-royong membersihkan sampah bersama penduduk dan pengusaha industri pelancongan.
Dr Mahathir menjelaskan, pelancong tidak berminat ke Pulau Langkawi sekiranya ia kotor dengan sampah hingga menyebabkan penduduk hilang punca pendapatan.
"Langkawi sudah dibuka kepada pelancong semula. Tidak lama lagi, pelancong asing dari luar negara juga akan mula berkunjung semula.
"Mereka ke Langkawi untuk menikmati keindahan pulau setelah lebih dua tahun tersekat akibat COVID-19. Sudah tentu tidak ada sesiapa yang mahu lihat sampah sarap bertaburan di pulau ini.
"Saya terbaca di Pulau Bali dan di beberapa pulau peranginan di Thailand, penduduk setempat bergotong-royong bersihkan pulau sementara ia ditutup kepada pelancong.
"Mungkin pentadbiran Langkawi juga boleh pertimbang usaha gotong-royong bersama penduduk dan pengusaha industri pelancongan. Saya pasti usaha ini juga akan dapat perhatian dan sokongan NGO yang bertapak di Langkawi," katanya.
Dr Mahathir juga menjelaskan, Langkawi dapat kembali jadi destinasi pelancongan yang ulung dan ternama seperti dulu jika berjaya menangani COVID-19.
"Tetapi, kita haruslah sama-sama pikul tanggungjawab. Saya harap penduduk Langkawi tidak bergantung kepada agensi Kerajaan semata-mata, tetapi bersama-sama jaga kebersihan persekitaran pulau kita ini.
"Jika pulau ini kotor, pelancong di masa hadapan mungkin tidak minat untuk datang dan dengan itu kita akan hilang punca pendapatan yang kita nikmati hari ini," katanya lagi.
Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan dan pihak lain yang terlibat di dalam gotong royong pembersihan sampah terapung dari perairan Kuah ke Bukit Malut pada hari Selasa 21hb September.

SAMPAH 1. Saya ucap terima kasih kepada semua agensi Kerajaan dan pihak lain yang terlibat di dalam gotong royong pembersihan sampah terapung dari perairan Kuah ke Bukit Malut pada hari Selasa 23hb September.https://t.co/YTkJZCbsgL pic.twitter.com/iQXfuFlnRq

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) September 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Dr Mahathir Mohamad #Langkawi #pelancongan #destinasi #pembersihan #sampah
;