Pelancong terkandas di Pulau Perhentian diselamatkan hari ini
Bernama
Februari 28, 2022 11:00 MYT
Februari 28, 2022 11:00 MYT
KUALA BESUT: Kesemua 385 pelancong yang terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak Jumaat lepas kini sedang dibawa keluar daripada pulau tersebut mulai pagi ini.
Presiden Persatuan Premis Penginapan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah berkata kesemua pelancong termasuk 18 kanak-kanak dan dua bayi itu dibawa keluar menggunakan 15 bot pelancong bermula 7.30 pagi tadi.
"Keadaan cuaca yang baik dan laut yang tidak lagi berombak kuat membolehkan kita bawa keluar semua pelancong tersebut. Kesemua 15 bot itu akan berulang-alik dari Pulau Perhentian ke Jeti Kuala Besut sehingga semua pelancong selamat keluar daripada pulau ini," katanya hari ini.
Kesemua pelancong yang menginap di 19 hotel dan resort di Pulau Perhentian itu terkandas sejak Jumaat lepas ekoran keadaan laut bergelora dan angin kencang.
BACA: Terkandas di Pulau Perhentian: Bekalan makanan makin kurang, tiada bot dibenarkan keluar - Pelancong
Situasi tersebut menyebabkan operasi perkhidmatan bot di pulau peranginan itu terpaksa dihentikan.
-- BERNAMA