Pelancong terkandas di Langkawi jalani kehidupan dalam tempoh PKP
Adie Sufian Zulkefli
April 17, 2020 13:52 MYT
April 17, 2020 13:52 MYT
“Sepatutnya kami sudah pulang ke Barcelona, Sepanyol, dengan menaiki penerbangan 14 April lalu.
"Bagaimanapun, oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia ketika ini, penerbangan kami terpaksa dibatalkan.”
Demikian luahan hati dua pelancong dari Sepanyol yang kini terkandas di pulau ini.
Kedua-dua mereka, Jonathan Ben, 25 tahun, dan Alicia Sierra, 22 tahun, sudah hampir sebulan terkandas di sini.
Mengikut perancangan asal, pasangan tersebut melakukan perjalanan untuk kembali ke Sepanyol pada 25 Mac lalu.
Bagaimanapun, tiket penerbangan mereka terpaksa dibatalkan susulan keputusan kerajaan melaksanakan PKP ekoran pandemik COVID-19.
Menurut Jonathan, pada mulanya mereka berasa kekok dan takut, namun selepas beberapa minggu mereka dapat membiasakan diri dengan keadaan tersebut.
Kedua-dua mereka ketika ini terpaksa tinggal di Pantai Cenang di sini sehingga keadaan pulih dan negara diisytihar bebas daripada wabak COVID-19.
"Kami berasa okay di sini, keadaan cuaca baik. Kami masih boleh melakukan senaman di luar kerana hanya kami saja yang ada, tiada orang lain.
"Tidak ramai orang di sini. Kebanyakan yang kami jumpa adalah warga asing, tak ramai orang Malaysia.
"Kami tidak bosan. Kami boleh dengar muzik, belajar, barang-barang murah di pulau ini,” katanya.
Jelas Jonathan, sepanjang tempoh berada di pulau itu, mereka dapat mempelajari banyak perkara termasuk budaya dan makanan masyarakat setempat.