Pelancong Singapura ke Sarawak perlu patuhi garis panduan Kementerian Kesihatan
Bernama
Februari 10, 2020 04:47 MYT
Februari 10, 2020 04:47 MYT
Rakyat Singapura yang berhasrat ke Sarawak untuk lawatan jangka pendek dikehendaki mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan bagi mereka yang memasuki negeri itu bagi menghadiri sebarang acara atau majlis.
Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada Isnin menyebut bahawa di bawah garis panduan itu, adalah menjadi tanggungjawab penganjur atau sekretariat bagi sesuatu acara untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mencegah penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).
Langkah itu termasuk individu yang tidak sihat perlu mengelak memasuki Sarawak bagi menghadiri sebarang majlis, mesyuarat, perhimpunan, persidangan dan lain-lain; serta segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya ada sesiapa jatuh sakit semasa acara berlangsung.
Peserta perlu mengelak berjabat tangan atau mengadakan hubungan fizikal dengan peserta lain sambil menimbangkan alternatif bagi salam perkenalan.
Di pihak penganjur atau sekretariat, mereka perlu menyimpan senarai pendaftaran semua peserta, menyediakan penutup hidung dan mulut kepada peserta yang mengalami gejala penyakit pernafasan sebelum memasuki negeri itu; menolak kemasukan individu yang tidak sihat; menyediakan cecair pembasmi kuman tangan hand di pintu masuk dan keluar kemudahan atau bilik mesyuarat.
Penganjur atau sekretariat acara turut dinasihatkan untuk menjalankan tapisan suhu jika boleh, meningkatkan kekerapan pembersihan semua kawasan kegunaan bersama seperti bilik air, kaunter pendaftaran dan pembayaran serta ruang makan.
Jawatankuasa itu juga mahukan kaunter-kaunter jabatan Imigresen untuk membersih dan mengelap mesin cap jari mereka dengan lebih kerap.
Kenyataan itu dibuat selepas kenyataan terdahulu yang dikeluarkan jawatankuasa tersebut memetik pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkaitan syarat untuk semua pelancong dari Singapura yang memasuki Sarawak perlu menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.
-- BERNAMA
#coronavirus
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#pelancong
#perubatan
#rakyat singapura
#Sarawak
#Singapura