Pelancong Singapura hilang di Pulau Tioman

Astro Awani
Jun 9, 2016 16:41 MYT
Seramai 14 anggota dan pegawai bomba digerakkan ke Pulau Tioman untuk operasi mencari dan menyelamat Sinar Widjoyo. - Gambar hiasan
Seorang pelancong lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang sejak petang semalam di Kampung Paya di Pulau Tioman dekat Rompin.
Difahamkan mangsa Sinar Widjoyo Tugi, 73, datang bercuti bersama anggota keluarganya dan kali terakhir dilihat berada di sebuah resort di pulau itu.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah, mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.
Menurut beliau, anggota keluarga mangsa membuat laporan polis lebih kurang 3 petang semalam di Mersing kemudian kes itu dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, namun sehingga kini mangsa belum ditemui dan polis bersama pihak bomba masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Anuar Hassan berkata seramai 14 anggota dan pegawai bomba digerakkan ke Pulau Tioman untuk operasi mencari dan menyelamat Sinar Widjoyo.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada sembilan pegawai dari pasukan STORM (Special Tactical Operation Rescue Malaysia) dan MUST team (Multi-Skill Team) beserta lima anggota dari Balai Bomba Rompin masih giat mencari mangsa.
#Pulau Tioman
;