Pelancong semakin ramai akibatkan kerosakan generator di Pulau Kapas
Bernama
September 1, 2020 21:01 MYT
September 1, 2020 21:01 MYT
Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM200,000 untuk membaiki dua set generator di Pulau Kapas yang dijangka dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah gangguan bekalan elektrik di situ dalam tempoh empat minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Putih berkata buat masa ini bekalan elektrik di pulau peranginan itu ditampung oleh satu set generator.
"Ini adalah penyelesaian jangka pendek untuk keselesaan pelancong serta pengusaha resort. Penyelesaian jangka panjang akan dilaksanakan dalam tempoh setahun lagi," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan ke Pulau Kapas, di sini pada Selasa.
Menurutnya keperluan bekalan elektrik di pulau itu ditampung oleh tiga set generator namun susulan peningkatan mendadak pelancong kebelakangan ini menyebabkan satu generator rosak manakala satu lagi tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh, mengakibatkan bekalan elektrik terputus pada malam Sabtu lepas.
Beberapa pengusaha resort dan chalet dilaporkan mendakwa mereka terpaksa membatalkan tempahan bilik penginapan dan memulangkan bayaran kepada pengunjung kerana masalah gangguan bekalan elektrik yang kritikal.
Ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang, beliau berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah memperuntukkan RM4.9 juta untuk menaik taraf sistem solar sedia ada serta membeli set generator baharu yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan bulan hingga setahun lagi.
Untuk rekod, pada masa ini terdapat 19 pengusaha resort dan chalet beroperasi di Pulau Kapas.
-- BERNAMA