Pelancong Republik Czech mengaku salah conteng dinding Maritim Malaysia

Sinar Harian
Februari 27, 2025 18:11 MYT
Brukner Martin (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
MERSING: Seorang pelancong warga Republik Czech dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menconteng dinding bangunan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, minggu lalu.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu kepada Brukner Martin, 33, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Tertuduh didakwa menconteng dinding bangunan APMM Zon Maritim Mersing di bandar Mersing pada jam 12.06 tengah malam, 23 Februari lalu yang menyebabkan kerugian RM2,000.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayarnya.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afdhallan Shafiq manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Brukner Martin dalam rayuan meminta hukuman diringankan kerana perlu membeli tiket untuk pulang ke negara asal.
"Saya menyesal dengan apa yang saya lakukan, perbuatan itu (conteng dinding) adalah kebudak-budakan dan minta maaf atas perbuatan saya, berjanji tidak akan mengulanginya lagi di mana-mana negara.
"Saya mohon hukuman dikurangkan kerana saya perlu membeli tiket untuk pulang (balik ke negara asal)." ujarnya.
Berdasarkan fakta kes, seorang individu yang bertugas di Pejabat Maritim Malaysia tersebut telah menjumpai kesan contengan di dinding pejabat berkenaan disyaki akibat perbuatan vadalisme pada jam 9 pagi, 23 Februari lalu.
Individu tersebut kemudian menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat untuk melihat siapa pelaku dan hasil semakan mendapati perbuatan tersebut dilakukan seorang individu disyaki warganegara asing tidak dikenali.
Contengan vadalisme itu dilakukan di sekeliling Pejabat Maritim Malaysia tersebut dan premis-premis sekitar Jalan Sulaiman sebelum individu itu membuat laporan polis.
Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah pergi ke lorong belakang bangunan kedai dan Jalan Sulaiman sebelum menangkap tertuduh serta merampas pen penanda lalu membawanya ke IPD Mersing. - Sinar Harian
#conteng dinding #Pelancong asing #Republik Czech #Mersing
;