Pelancong lebih memilih laluan darat punca penerbangan ke Pulau Pangkor ditangguh

Bernama
Jun 23, 2022 16:22 MYT
Nolee Ashilin menjelaskan, jarak perjalanan ke Pulau Pangkor tidak mengambil masa yang terlalu lama apabila menggunakan laluan darat. - Gambar fail
IPOH: Perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang ke Pulau Pangkor tidak menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelancong disebabkan mereka memilih menggunakan laluan darat berbanding udara.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata ia kerana jarak perjalanan ke Pulau Pangkor tidak mengambil masa yang terlalu lama apabila menggunakan laluan darat.
"Ia bukan berpunca pelancong tidak berkunjung ke Pulau Pangkor tetapi sebagai contoh dari Kuala Lumpur ke pulau peranginan itu pun tidak terlampau jauh, ada lebuh raya ke sana jadi mereka memilih menggunakan laluan darat sahaja.
"Jadi, penerbangan itu telah ditangguhkan sementara sejak 29 Mei lepas dan ia merupakan keputusan syarikat (SKS Airways Sdn Bhd) tersebut dan mereka merancang untuk menyambung semula perkhidmatan itu semasa musim kemuncak seperti cuti sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program dialog awam dan pelancaran Unit Polis Pelancong Perak yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid di sini hari ini.
Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan penerbangan membawa pelancong dari Subang ke Pulau Pangkor, SKS Airways Sdn Bhd (SKS Airways) ditangguh disebabkan kekurangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan udara tersebut.
Penerbangan ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan syarikat SKS Airways sebaliknya hanya menawarkan penerbangan ke Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu dipercayai ekoran kurang mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 25 Januari lepas.
Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata jumlah kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor amat memberangsangkan dan meningkat sehingga kini walaupun perkhidmatan penerbangan ke sana kurang mendapat sambutan.
-- BERNAMA
#penerbangan #Pulau Pangkor #laluan darat #Nolee Ashilin Mohammed Radzi
;