Pelancong ke Sarawak dijangka meningkat 500 peratus - Abdul Karim

Azizah Alwi
Februari 16, 2022 13:17 MYT
Jelas Abdul Karim keyakinan sektor pelancongan Sarawak pulih lebih pantas didorong kelonggaran kemasukan pelancong ke negeri itu tanpa perlu melalui prosedur ketat seperti sebelum ini. - Foto Bernama
KUCHING: Jumlah pelancong ke Sarawak dijangka meningkat mendadak sehingga 500 peratus pada tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, ramalan ini berdasarkan trend kemasukan ke Sarawak sejak pintu sempadan dibuka pada tahun lalu.
"Berita positif ini dijangka memulihkan industri pelancongan negara, setelah berhadapan 24 bulan yang suram sebelum ini akibat COVID-19," katanya kepada Astro Awani.
Tambah Abdul Karim jumlah pengunjung ke Sarawak pada Disember dan Januari telah menunjukkan peningkatan drastik.
" Saya percaya bulan seterusnya juga begitu kerana kita sudah masuk ke Pelan Pemulihan dan tidak akan balik kepada Perintah Kawalan Pergerakan seperti sebelum ini.
“Apabila perjalanan pengunjung dan sebagainya sudah dilonggarkan, tidak ada kuarantin lagi, jadi kita optimis jumlah pengunjung ke Sarawak juga melonjak,” ujarnya.
Bagi memenuhi jangkaan peningkatan pelancong ke negeri ini jelasnya, beberapa aktiviti utama seperti Spartan Race, Rainforest Music Festival dan Program Citrawarna Malaysia akan diadakan kembali.
“Ia dijangka mampu menarik kehadiran ramai pengunjung , baik dari luar negeri mahupun domestik, sekali gus memberi impak positif kepada rantaian industri pelancongan," ujarnya.
Abdul Karim sebelum ini meletakkan sasaran kehadiran lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini dengan strategi menarik lebh ramai pelancong dari Asia Barat.
BACA: Sarawak mahu tarik lebih ramai pelancong Asia Barat - Abdul Karim
#COVID-19 #Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah #pelancongan #Sarawak
;