Pelancong ke Langkawi perlu lalui pemeriksaan ketat - Polis
Adie Sufian Zulkefli
September 22, 2021 09:46 MYT
September 22, 2021 09:46 MYT
ALOR SETAR: Pelancong yang ingin ke Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah yang akan dibuka bermula Khamis ini perlu melalui pemeriksaan yang ketat.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pelancong luar dari Kedah dan Perlis harus menunjukkan surat kebenaran polis walaupun mempunyai bukti tempahan tiket feri dan hotel ke pulau berkenaan.
Beliau berkata, pelancong juga wajib menunjukkan sijil digital suntikan vaksin dua dos yang lengkap seterusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pelancong turut diminta tiba dua jam lebih awal sebelum waktu perjalanan feri bagi mengelakkan berlaku kesesakan dan kelewatan waktu perjalanan.
"Harus diingatkan bahawa tempat untuk membuat saringan RTK ataupun PCR dan juga ujian air liur itu terhad berbanding dengan tempat tempat lain.
"Jadi saya nasihatkan datang awal sekurang-kurangnya mungkin dalam dua jam awal untuk kita memudahkan proses yang perlu dibuat sebelum berlepas ke Langkawi," katanya.
Beliau berkata, bagi mengelakkan pelancong ditipu ulat parkir, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan pengusaha tempat letak kereta persendirian di Kuala Kedah untuk memberi kemudahan terbaik kepada pelancong yang datang.
Sementara itu, Kamarul Zaman turut menasihati mereka yang ingin melancong ke Langkawi supaya tidak mudah percaya dan tertipu dengan sindiket yang menawarkan pakej pelancongan ke pulau itu.
"Ada sindiket yang mengambil kesempatan dengan menawarkan pakej-pakej murah dan sebagainya.
"Saya nasihatkan para pelancong untuk terus berurusan dengan hotel-hotel yang berkenaan," katanya lagi.