Pelancong Eropah tidak mahu pulang, mohon menetap sementara di Malaysia
Astro Awani
April 7, 2020 17:37 MYT
April 7, 2020 17:37 MYT
Sekurang-kurangnya 127 pelancong warga Eropah yang kini berada di beberapa lokasi pelancongan di Pahang, enggan pulang ke negara asal masing-masing kerana khuatir akan situasi pandemik COVID-19 di negara mereka.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, seramai 85 orang kini berada di Pulau Tioman manakala 42 lagi kini di Cameron Highlands.
Jelasnya, mereka berada di negara ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan dan memohon untuk terus tinggal di negara ini sehingga keadaan kembali pulih.
"Kita telah melakukan saringan kesihatan terhadap mereka dibantu oleh Kementerian Kesihatan daerah Rompin dan Cameron.
"Kesemua mereka disahkan negatif COVID-19 dan mereka telah memohon dengan pihak imigresen untuk diberi kebenaran tinggal di sini sehingga keadaan kembali pulih untuk mereka pulang ke negara asal mereka," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di sebuah lokasi sekatan jalan raya di Kuantan pada Selasa.
Buat masa ini, kesemua pelancong itu akan menetap di hotel penginapan masing-masing dan akan terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
#COVID-19
#Datuk Abd Jalil Hassan
#eropah
#Ketua Polis Pahang
#Kuantan
#pelancong
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Pulau Tioman