Pelancong dikaitkan dengan kumpulan berbogel atas Gunung Kinabalu ditahan polis
T K Letchumy Tamboo
Jun 8, 2015 21:03 MYT
Jun 8, 2015 21:03 MYT
Salah seorang daripada anggota kumpulan pelancong yang dikaitkan dengan kumpulan berbogel dan membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu, telah ditahan polis.
Menurut laporan The Star Online yang memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Datuk Salehuddin Abdul Rahman, lelaki Eropah yang berusia 38 tahun itu, ditahan ketika sedang cuba berlepas ke Filipina dari lokasi semasanya di Kota Kinabalu selepas tiba dari Tawau.
Salehuddin berkata polis akan mengambil keterangan dari lelaki tersebut, sebelum menentukan langkah seterusnya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan untuk gangguan awam dan boleh dihukum denda RM400 jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu bulan lepas akan dihalang daripada meninggalkan Sabah.
Insiden pelancong yang bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada pagi 30 Mei lepas, tersebut membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan di Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati adat resam tempatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ramai yang membuat pelbagai spekulasi mengaitkan insiden bogel itu dengan kejadian gempa bumi di Ranau, kira-kira 108km dari sini, pagi tadi.
Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi Jumaat di Ranau dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Menurut Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional, pusat gempa itu terletak 16km di barat laut Ranau.