Pelancong China mati lemas ketika snorkeling
Bernama
Mei 22, 2018 16:57 MYT
Mei 22, 2018 16:57 MYT
Seorang pelancong warga China mati lemas ketika snorkeling di Pulau Sibuan dekat sini, petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas.
Beliau berkata lelaki itu dikenali sebagai Li Jing, 29, berasal dari Beijing ditemukan lemas oleh rakan-rakannya kira-kira 2 petang.
"Mangsa adalah seorang daripada 8 pelancong dari China yang mengikuti rombongan ke Pulau Bohey Dulang, Mantabuan dan Pulau Sibuan.
"Bagaimanapun sewaktu di Pulau Sibuan, mangsa dan rakan-rakan mula mandi laut dan snorkeling selama 40 minit sebelum tiba-tiba seorang pelancong lain memberitahu ada orang lemas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Peter berkata mangsa cuba diselamatkan rakannya dan dibawa naik ke atas bot sebelum dua pelancong tempatan memberi bantuan pernafasan (CPR) sambil bot bergerak menuju ke Hospital Semporna.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.30 petang oleh pegawai perubatan bertugas.
-- BERNAMA