Pelancong China lemas ketika snorkeling
Petrus Bernard
Oktober 6, 2023 15:50 MYT
Oktober 6, 2023 15:50 MYT
SEMPORNA: Seorang pelancong warga China berumur 26 tahun ditemui lemas pada Jumaat selepas dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti snorkeling di sebuah resort di Pulau Bum Bum, Semporna, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mayat mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat(SAR) diaktifkan.
Katanya, terdahulu mangsa bersama seorang rakannya yang juga warga China dipercayai melakukan aktiviti snorkeling sejauh 10 hingga 15 meter dari resort berkenaan pada jam 4.30 petang Khamis tanpa menggunakan jaket keselamatan.
"Pada jam 5.15 petang, rakan mangsa telah naik ke jeti dan tidak melihat mangsa di laut dan terus membuat pemeriksaan di bilik namun dia gagal ditemui sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pengurus resort.
"Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.37 malam tadi daripada pengurus resort berkenaan.
"Pasukan keselamatan bersama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna berjaya menemui mayat mangsa pada jam 10.15 pagi Jumaat melalui SAR yang diaktifkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat.
Ujar Farhan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengetahui punca kematian mangsa.