Pelancong cedera jatuh dari tingkat tujuh pusat beli-belah

Bernama
Februari 5, 2025 20:20 MYT
Seorang pelancong warga asing cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney hari ini. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang pelancong warga asing cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan lelaki berusia 25 tahun itu pada 1.55 tengah hari.
"Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dalam keadaan sedar menggunakan ambulans pada 2.20 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu beberapa keping gambar tular menerusi media sosial memapar seorang lelaki terjatuh atas bumbung replika bangunan dekorasi Tahun Baharu Cina di sebuah pusat beli-belah di sini.
-- BERNAMA
#pelancong jatuh #pusat beli-belah #tingkat tujuh #Persiaran Gurney
;