Pelancong asing ditahan disyaki rogol wanita tempatan

Norfarhiza Mohd Atar
Jun 16, 2023 14:45 MYT
Menurut polis, suspek telah bertindak menarik tangan mangsa secara paksaan dan membawa mangsa masuk ke biliknya dan merogol mangsa. - Gambar hiasan
BENTONG: Seorang lelaki warga asing ditahan dipercayai merogol wanita tempatan berusia 20 tahun di sebuah hotel di Genting Highlands dekat sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 9 pagi, hari yang sama.
"Kejadian dipercayai berlaku pada Isnin, sekitar jam 5.20 pagi, semasa mangsa berjalan pulang ke bilik sewa rakannya.
"Mangsa telah dipanggil oleh seorang lelaki yang tidak dikenali untuk bertanyakan tentang kemudahan yang disediakan oleh pihak hotel," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek kemudiannya mengajak mangsa untuk tidur bersama namun pelawaan tersebut ditolak.
"Suspek telah bertindak menarik tangan mangsa secara paksaan dan membawa mangsa masuk ke biliknya dan merogol mangsa.
"Hasil siasatan mendapati suspek adalah warga asing yang datang ke Malaysia atas tujuan melancong," jelasnya.
Ujarnya lagi, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong telah menahan suspek pada jam 1 tengah hari, pada hari yang sama, di lokasi berhampiran hotel untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol. Sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat tidak kurang dari 10 sebatan.
"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Jun untuk membantu siasatan," katanya lagi.
Zaiham turut menasihati orang ramai khususnya golongan wanita agar sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan dari sebarang perkara tidak diingini berlaku.
#lelaki warga asing #rogol #Genting Highlands #pelancong