Pelancong asing ditahan disyaki cabul pekerja spa di Pulau Perhentian

Bernama
Julai 16, 2024 07:45 MYT
Pemuda berusia 20-an itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 19 tahun itu, semalam. - Gambar hiasan
JERTIH: Polis menahan seorang pelancong lelaki warga Maghribi kerana disyaki mencabul seorang juruterapi wanita rakyat tempatan di Pulau Perhentian dekat sini semalam.
Ketua Polis Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata pemuda berusia 20-an itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 19 tahun itu, semalam.
"Wanita yang bekerja sebagai juruterapi di sebuah spa di pulau berkenaan mendakwa dicabul semasa memberi perkhidmatan urutan kepada suspek.
"Sehubungan itu, pihak polis memberkas suspek di sekitar Jeti Pelancongan Kuala Besut 7.30 malam tadi. Hasil ujian urin mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#pelancong asing ditahan #cabul #pekerja spa #Pulau Perhentian #Abdul Rozak Muhammad