Pelancong asing didapati bersalah akan diusir selain disenarai hitam - KP Imigresen

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 5, 2019 20:30 MYT
Pada Isnin, sepasang suami isteri warganegara Rusia ditahan polis selepas klip video seorang lelaki melambung dan menghayun bayi berusia empat bulan dalam persembahan jalanan di ibu negara. Foto: Faceebook Zayl Chia Abdulla
Pelancong asing yang didapati bersalah melakukan perkara yang bertentangan dengan syarat-syarat pas lawatan sosial akan diusir seterusnya disenarai hitamkan dari terus memasuki Malaysia.
Tindakan itu hanya akan diambil selepas mendapat syor Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, melalui sistem biometrik di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelancong asing yang pernah diusir keluar tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini.
“Selalunya DPP akan syorkan pelancong asing yang melakukan kesalahan akan ditahan dan diusir keluar.
“Ini kerana mereka bukan pelancong yang sebenar, yang datang untuk menikmati panorama di negara ini.
“Sekiranya mereka lakukan kesalahan meminta sumbangan buat pertama kali, tiada peruntukan yang jelas boleh kita ambil tindakan tetapi sekiranya mereka melakukan perbuatan itu secara berterusan dan kerap, pihak Imigresen ada hak untuk mengusir mereka,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Tegas Khairul, jika pelancong asing yang meminta sumbangan bagi pihak organisasi tertentu ia juga merupakan satu kesalahan dan boleh diusir keluar.
Pada Isnin, sepasang suami isteri warganegara Rusia ditahan polis selepas klip video seorang lelaki melambung dan menghayun bayi berusia empat bulan dalam persembahan jalanan di ibu negara baru-baru ini tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan tangkapan dibuat jam 3.30 petang pada Isnin.
BACA: Gara-gara lambung bayi dalam persembahan jalanan, pasangan Rusia ditahan
Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan pihaknya akan teruskan melakukan pemantauan berkala membabitkan pelancong asing yang berada di ibu kota.
Menurut Datuk Bandar Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pihaknya akan turun padang selepas terima laporan orang ramai terhadap pelancong asing yang meminta sumbangan.
Katanya lagi, bukan hanya kes seumpamanya diberikan perhatian, malah pemantauan berkala ini juga termasuk terhadap pelancong asing yang melakukan perniagaan secara kecil-kecilan di ibu negara.
BACA: 'Begpackers' buat hal, bayi dilambung-lambung untuk dapat sumbangan
BACA: Pelancong buat hal, 'juggling' tengah lintasan Jalan Sultan Ismail
#Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud #DBKL #kesalahan #Ketua Pengarah Jabatan Imigresen #Pelancong asing #senarai hitam #usir
;