Pelancong Arab lemas di Pantai Tengah
Bernama
Jun 23, 2019 06:00 MYT
Jun 23, 2019 06:00 MYT
Percutian sebuah keluarga dari Arab Saudi berakhir tragedi apabila seorang bapa lemas manakala dua anak lelakinya diselamatkan oleh anggota penyelamat ketika mandi di Pantai Tengah, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa Husain Musaad Alawfi, 51 tahun, bersama dua anak, yang tinggal di sebuah hotel berhampiran pantai itu, sedang mandi di luar kawasan yang ditetapkan di pantai itu ketika keadaan ombak besar dan laut bergelora.
Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang dengan memaklumkan tiga lelaki dihanyutkan ombak ke tengah laut.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Menara Pantai Cenang, Menara Pantai Tengah dan Menara Pulau Payar digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Anggota penyelamat yang sedang membuat rondaan berjaya menyelamatkan dua anak mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahman, 13 tahun, dan Yasir Hussain Aloufi, 21 tahun, jam 3.22 petang manakala Husain Musaad ditemukan kira-kira 30 meter lokasi penemuan anak pada jam 6 petang," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata ketika kejadian, tanda amaran bendera merah telah dinaikkan berikutan keadaan ombak besar dan laut bergelora malahan tiga sekeluarga itu sedang mandi di luar kawasan yang ditetapkan di pantai tersebut.
Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
#Arab
#Azamshah Apearal
#di luar kawasan ditetapkan
#Langkawi
#laut
#laut bergelora
#lemas
#mandi
#mayat
#ombak
#ombak besar
#Pantai Tengah
#pelancong
#tanda amaran