Pelancaran MVV peringkat antarabangsa sebelum akhir tahun - Mohamad Hasan
Bernama
Mei 5, 2017 21:46 MYT
Mei 5, 2017 21:46 MYT
Pelancaran pembangunan metropolis bertaraf dunia, Malaysia Vision Valley (MVV) peringkat antarabangsa meliputi kawasan seluas 153,000 hektar di Negeri Sembilan, akan diadakan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelancaran itu akan melibatkan pelabur dalam dan luar negara, yang akan membangunkan beberapa daerah di negeri ini, merangkumi Seremban dan Port Dickson.
"Pelancaran global atau peringkat antarabangsa itu kelak, akan dipamerkan pelan pembangunan komprehensif yang turut meliputi Pelan Induk Pembangunan dan Pelan Pembangunan Bandar.
"Selain itu, beberapa majlis menandatangani memorandum perjanjian oleh syarikat pelabur dari luar negara yang akan membangunkan kawasan industri dalam MVV akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan majlis menandatangani perjanjian untuk pembangunan MVV melibatkan Sime Darby Property Bhd, Brunsfield Development Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.
MVV akan dibangunkan secara berfasa sehingga 2045 dan dijangka mampu menarik pelaburan RM290 bilion dan bakal mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata MVV dibahagikan kepada lima kluster strategik iaitu ''Central Business District'', ''Nature City'', ''Edu-Tech Valley'', ''Tourism and Wellness'' serta ''New Liveable Township''.
"Kita mahu bandar ini menjadi bandar pintar dan metropolis bertaraf antarabangsa dengan sistem pengangkutan awam yang komprehensif untuk kurangkan kesesakan lalu lintas berasaskan teknologi hijau, dan pada masa sama memastikan ia mesra kepada semua peringkat masyarakat mengambil kira jumlah penduduk Negeri Sembilan pada 2045 yang akan mencapai sehingga 2.5 juta orang.
"Sebab itu, untuk fasa pertama kita akan tempatkan rumah mampu milik dan ambil kira cita rasa orang muda dengan dilengkapi tempat bersukan, riadah dan sebagainya untuk menarik golongan muda dan eksekutif muda menetap di sini. Mereka ini jugalah yang akan membawa peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini manakala kita akan bawa industri berteknologi tinggi," katanya.
-- BERNAMA