Pelancaran Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020

Astro Awani
April 20, 2020 11:15 MYT
Pelancaran Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 pada 23 April ini sempena Hari Buku dan Hak Cipta Dunia akan diadakan secara digital memandangkan Malaysia masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan.
KUALA LUMPUR tetap diisytiharkan sebagai hos Ibu Kota Buku Dunia 2020 pada 23 April ini sempena Hari Buku dan Hak Cipta Dunia.
Acara pelancaran akan dijalankan di media sosial rasmi KLWBC 2020 melalui Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter @KualaLumpurWBC.
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan (UNESCO) mengumumkan hak Kuala Lumpur sebagai bandaraya hos Ibu Kota Buku Dunia ke-20 pada 2018.
Amat unik apabila status bandaraya buku dunia ke-20 ini diperolehi pada tahun 2020 dan hak ini kekal selama setahun sehingga 22 April 2021.
Ibu Kota Buku Dunia mula diperkenalkan UNESCO pada tahun 2000 dengan bandaraya Madrid, Sepanyol diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku pertama.
Sejak itu Ibu Kota Buku Dunia dihoskan pelbagai bandaraya di seluruh dunia hingga ke Sharjah Emiriah Arab Bersatu pada 2019.
Pelancaran di paltform media sosial dibuat memandangkan Malaysia kini berada dibawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebelum ini, penganjur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang acara pengisytiharan melalui Festival KLWBC 2020 di Dataran Merdeka pada 18 hingga 23 April. Namun, acara ini ditunda berikutan PKP.
Melalui platform digital, Kuala Lumpur akan tetap meraikan pengisytiharan ini bermula pada jam 12 tengah hari Khamis ini.
Acara pelancaran dimulakan dengan ucapan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay dan diikuti ucapan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan menjadi penganjur bersama KLWBC 2020.
Selain DBKL, Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menjadi pemegang taruh utama.
Bersesuaian dengan keadaan PKP dan ancaman COVID-19, pelancaran di platform media sosial tetap diadakan dengan keutamaan memenuhi empat aspirasi KLWBC 2020.
Pelancaran ini untuk menyedarkan masyarakat awam mengenai status Kuala Lumpur sebagai pusat gerakan membaca dunia mulai 23 April ini.
Empat aspirasi utama KLWBC 2020 ialah meningkatkan minat membaca, membina akses pembacaan di segenap peringkat, mengukuhkan industri perbukuan dan memperkasakan minda kanak-kanak melalui pembacaan.
Selain ucapan Azoulay dan Nor Hisham, acara pelancaran di media sosial akan turut disertai persembahan baca puisi Adlin Aman Ramli.
Adlin akan mendeklamasikan sajak Sasterawan Negara, A Samad Said berjudul Merindui Buku.
Lagu tema KLWBC 2020 berjudul Surat Cinta Kuala Lumpur nyanyian dan ciptaan Datuk Ramli Sarip turut dilancarkan dan dimuat naik ke media sosial.
Sempena pelancaran ini, kempen Jalan Menuju 23 April, Facebook, Instagram dan Tweeter KLWBC2020 akan turut menyiarkan siri persembahan dua aktivis muda, Jack Malik dan Aliff Awan.
Peminat buku turut dijemput menyertai pelbagai program di media sosial KLWBC 2020 yang menawarkan hadiah menarik kepada pemenang.
Kempen bermula hari ini dan peminat buku boleh menyertainya dengan melawati media sosial KLWBC 2020.
Senarai Ibu Kita Dunia selepas Madrid ialah Iskandariah, Mesir (2002), New Delhi, India (2003), Antwerp, Belgium (2004), Montreal, Kanada (2005), Turin, Itali (2006), Bogota, Columbia (2007), Amsterdam, Belanda (2008) dan Beirut, Lubnan (2009).
Pada 2010 bandaraya Ljubljana diisytiharkan Ibu Kota Buku, Buenos Aires, Argentina (2011), Yerevan Armenia (2012), Bangkok, Thailand (2013), Port Harcourt, Nigeria (2014), Incheon, Korea Selatan (2015), Warsaw, Poland (2016), Conakry, Guinea (2017), Athens, Greece (2018) dan Sharjah, UAE (2019).
#COVID19 #Hari Buku dan Hak Cipta Dunia #Ibu Kota Buku Dunia 2020 #KLWBC 2020 #Kuala Lumpur #perintah kawalan pergerakan #Unesco
;