Pelancaran e-visa mampu tarik satu juta pelancong India

Bernama
Februari 17, 2017 07:56 MYT
Mohamed Nazri berkata inisiatif itu adalah bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan industri pelancongan India berhubung bayaran visa. - Gambar fail
Malaysia melancarkan e-visa bagi memudahkan pelancong India melawat negara berkenaan untuk bercuti, satu langkah disifatkan pengusaha pelancongan akan dapat membantu mencapai sasaran satu juta pengunjung dari India, tahun ini.
E-visa itu boleh dikeluarkan dalam tempoh 48 jam dan membolehkan pelancong tinggal di Malaysia sehingga dua minggu, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang media di New Delhi, Khamis.
Kos 'visa masuk' berkenaan adalah US$20 untuk yuran pemprosesan, hanya satu perempat daripada bayaran pas berulangkali perjalanan yang perlu dibayar pemegang pasport India pada masa ini.
Mohamed Nazri berkata inisiatif itu adalah bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan industri pelancongan India berhubung bayaran visa.
Badan-badan industri pelancongan terkemuka India mengalu-alukan kemudahan tersebut, sambil menyatakan sokongan mereka terhadap usaha untuk mempromosi pelancongan Malaysia.
Tourism Malaysia dan Persatuan Agensi-agensi Pelancongan India (TAAI), Persekutuan Agensi-agensi Pelancongan India (TAFI) dan Persatuan Pengusaha Outbound Tour of India (OTOAI) pada Khamis, menandatangani plak bagi mempromosi pelancong dari India.
"Anda telah memberi kami kemudahan visa yang diminta, sekarang kami akan membantu anda dalam mencapai sasaran satu juta ketibaan pelancong," kata pengerusi rantau utara TAAI Rajan Sehgal.
Terdapat beberapa halangan kepada bayaran visa Malaysia daripada pelancong, kata presiden OTOAI Guldeep Singh Sahni kepada Bernama.
Sahni berkata visa berulangkali perjalanan melibatkan kos 5,600 rupee (US$83). Walaupun bayaran visa itu hanya 1,000 rupee, terdapat caj tambahan seperti bayaran pemprosesan pusat sehenti dan yuran logistik.
"Sistem e-visa ini satu langkah yang dialu-alukan. Ia akan membantu mengurangkan kos perjalanan ke Malaysia," kata Sahni.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, yang turut hadir pada sidang media itu, memberitahu Bernama e-visa baharu itu bertujuan untuk menarik kedatangan pelancong dari India dan China.
Malaysia kekal sebagai destinasi popular dalam kalangan pelancong India, walaupun 2016 menyaksikan penurunan jumlah pengunjung berbanding tahun sebelumnya.
Pelancong dari India merupakan sumber ketibaan pelancong asing keenam terbesar kepada Malaysia, dengan 722,141 pengunjung pada 2015.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz #e-visa #pelancong India #visa masuk
;