Pelan Transformasi Air sasar tingkatkan air bersih, liputan sistem kumbahan - Fadillah
Firdaus Azil
Julai 16, 2024 13:30 MYT
Julai 16, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan transformasi air bakal mengguna pakai beberapa objektif strategik, antara lain meningkatkan keberhasilan air bersih dan liputan sistem kumbahan di kawasan pedalaman kepada 98 peratus menjelang 2025.
Selain itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelan tersebut juga akan menggariskan langkah demi mengurangkan penghasilan air tanpa hasil (NRW) kepada 31 peratus.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu sejajar dengan inisiatif Malaysia Madani untuk meningkatkan kesejahteraan sosial, dan menyokong UN Sustainable Development Goal, iaitu memastikan pengurusan air mampan dan kebersihan untuk semua lapisan masyarakat.
“Sebagai tambahan, PETRA akan menyokong penggunaan teknologi terkini dan pembinaan infrastruktur yang teguh untuk membentuk ekosistem sektor water.
“Berpegang kepada semangat Malaysia untuk menuju ke arah IR 4.0, saya optimistik terhadap kapasiti negara untuk mengguna pakai teknologi termaju bagi mengukuhkan lagi keupayaan pengurusan air negara,” katanya lagi.
Fadillah berkata demikian sewaktu menyampaikan ucap tama sempena Water Malaysia Specialised Conference and Exhibition – “Operationalising Water Transformation: New Strategies and Actions”, di ibu negara, pada Selasa.
Berucap lanjut, Fadillah berkata, kerajaan telah memberi mandat kepada Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2022 untuk mengkaji transformasi sektor air negara.
Beliau juga berharap agar persidangan tersebut dapat menjadi platform terbaik untuk pegawai dan pemegang taruh memberi input ke arah pelan yang lebih holistik menjelang 2020.
Menuju ke hadapan, Fadillah berkata, pembabitan sektor swasta amat penting bagi memenuhi kehendak pelaburan yang diperlukan pelan transformasi itu, bagi memastikan keterjaminan air.
“Kami (PETRA) bercadang untuk memperkenalkan pembiayaan swasta alternatif untuk memastikan kemampanan kewangan membabitkan program sektor air, dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap kewangan kerajaan, dan mengukuhkan daya tahan.
“Sebagai Kementerian yang menyelaras hubungan dalam industri air, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk menyokong hala tuju pembangunan masa panjang, dan strategi yang bertujuan untuk menghasilkan air secara inovatif dan bersih untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi.