Pelan Transformasi 2.0 Felcra akan diadakan secepat mungkin - Ahmad Jazlan

Bernama
Mac 18, 2023 05:52 MYT
Ahmad Jazlan berkata, perancangan perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, dalam usaha menambah hasil Felcra untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan. - Gambar fail BERNAMA
MACHANG: Perancangan Pelan Transformasi 2.0 Felcra Berhad akan dilaksanakan secepat mungkin, untuk memberi manfaat dan menjaga kebajikan para peserta, kata Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata pelan tersebut akan merangkumi beberapa aspek seperti keterjaminan makanan, urus niaga berkaitan Felcra dan tadbir urus.
"Saya telah buat perancangan sebelum ini untuk meneruskan Pelan Transformasi 2.0 yang sepatutnya bermula awal tahun ini, tetapi berikutan terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan pelan tidak dapat diputuskan.
"Perancangan ini amat baik dan insya-Allah akan dilaksanakan secepat mungkin, kerana matlamat kita ialah membantu peserta," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Tiu, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata perancangan perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, dalam usaha menambah hasil Felcra untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
"Apabila kita mendapat mandat untuk terlibat sama dalam soal keterjaminan makanan sebagai contoh ternakan ayam pedaging, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Felcra untuk turut sama terlibat serta mengenai tanaman padi pula, kita juga memilikinya di Seberang Perak, Perak.
"Kita sentiasa komited terhadap sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan, kerana kita akan terus maju melangkah ke hadapan untuk menjadi lebih baik sekali gus dapat membantu rakyat dan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#FELCRA #Pelan Transformasi 2 0 #Ahmad Jazlan Yaakub #keterjaminan makanan
;