Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan diaktifkan, pantau aktiviti pembakaran terbuka

Bernama
Mac 4, 2025 16:34 MYT
Pelan itu diaktifkan pada 21 Feb lepas bagi membolehkan kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan dan kerajaan negeri ambil tindakan berjaga-jaga. - Gambar fail/JBPM Sabah
PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) telah diaktifkan bagi membolehkan semua pihak meningkatkan pemantauan terhadap pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu, menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pelan berkenaan diaktifkan pada 21 Feb lepas bagi membolehkan kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan dan kerajaan negeri mengambil tindakan berjaga-jaga dan mencegah pembakaran terbuka.
Beliau berkata Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran di Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia juga telah diaktifkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 26 Feb.
"JAS juga telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron, serta memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) dari semasa ke semasa.
"Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut telah diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini susulan IPU di Balok Baru, Kuantan, Pahang merekodkan bacaan tidak sihat hari ini, susulan kebakaran tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating di negeri itu.
Mengenai kebakaran itu, Nik Nazmi berkata usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui kaedah firefighting, water bombing dan kerja-kerja flooding di kawasan kebakaran dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Susulan bacaan IPU yang mencapai 201 hingga 300 di Balok Baru semalam, JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana di peringkat negeri dan daerah.
"Hebahan ini juga bertujuan bagi membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah atau negeri diaktifkan, dan memastikan tindakan dapat diambil selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan," katanya.
Nik Nazmi berkata beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2025 esok, yang antaranya akan melaporkan status terkini keadaan cuaca, kualiti udara dan sebagai platform bagi merancang tindakan dan strategi pencegahan pembakaran terbuka serta jerebu.
"Isu kebakaran yang berlaku di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan, Pahang dan tindakan penyelarasan berkaitan akan turut dibincangkan melalui mesyuarat ini," katanya.
Hari ini, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan penduduk sekitar Balok Baru terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan, untuk berhati-hati susulan pencemaran udara di kawasan itu.
-- BERNAMA
#Pelan Tindakan #pembakaran terbuka #ptptk #jerebu #alam sekitar #Nik Nazmi Nik Ahmad #pemantauan
;