Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga 2.0 sedang dirangka - TPM Fadillah

Bernama
Mac 1, 2024 21:00 MYT
Fadillah berkata sasaran peralihan tenaga dapat direalisasikan secara menyeluruh mengikut pertimbangan teliti faktor keupayaan. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) yang berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan serta pelaburan demi manfaat negara dan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST), juga bertujuan mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ini juga sejajar dengan tindakan kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan usaha dan komitmen negara ke arah mencapai sistem tenaga yang mampan dan inklusif.
"NETR membuktikan keazaman kerajaan melaksanakan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.
"Ia juga bagi memastikan transformasi ekonomi lestari ini berupaya menjana sumber pertumbuhan baharu, mewujudkan peluang perniagaan dan potensi perdagangan," katanya ketika berucap pada hari kedua Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini, hari ini.
NETR yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lepas, berpotensi mengukuhkan komitmen Malaysia untuk mencapai aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada 2050.
Selain itu, Fadillah berkata sasaran peralihan tenaga dapat direalisasikan secara menyeluruh mengikut pertimbangan teliti faktor keupayaan seperti sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna.
Ini juga dicapai melalui pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos berpatutan, memanfaatkan ruang bumbung bangunan atau permukaan air untuk pemasangan sistem solar bagi mengelak tebus guna tanah dan meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif Grid Tenaga Asean.
"Pelaksanaan pelbagai inisiatif itu berupaya membuka lebih banyak peluang perniagaan dan potensi ekonomi baharu untuk dimanfaatkan semua pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya usahawan bumiputera.
"Semua inisiatif ini merupakan pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program TBB, sekali gus membolehkan penglibatan dan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera dalam agenda peralihan tenaga," katanya.
KEB 2024 selama tiga hari sehingga esok, turut melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) 10 kumpulan termasuk Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.
-- BERNAMA
#NEEAP 2 0 #ekonomi hijau #Petra #peluang perniagaan
;