Pelan Rekalibrasi PATI kurangkan kebergantungan tenaga kerja asing - Iman
Astro Awani
April 25, 2021 13:41 MYT
April 25, 2021 13:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) mengurangkan kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing dari aspek rancangan latihan kemahiran, bantuan kewangan yang membolehkan kerajaan menaik taraf teknologi serta kajian yang lebih menyeluruh dalam isu berkenaan.
Presiden Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak berkata, ia sekali gus akan memberi nafas kelegaan dan masa untuk industri yang terlibat merancang dan menyampaikan satu pelan tenaga kerja yang lebih komprehensif kepada kerajaan.
"Cabaran ekonomi global memerlukan semua pihak yang menjadi sebahagian dari libat urus kerajaan dan pihak swasta serta industri-industri yang terkesan bersepakat dalam mencari jalan penyelesaian kepada keperluan yang memerlukan.
"Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui gerak kerja dan keprihatinannya telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan Islam yang harus menjadi teladan kepada semua," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pelan Rekalibrasi PATI akan dilaksanakan bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021.
Jelasnya, ia diadakan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.
Dalam pada itu ujar Mohammed Mohsin, majikan berkenaan perlu mengikuti segala ketetapan kerajaan seperti pengambilan biometrik dan sebagainya bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan program itu.
"Pelan itu juga membuktikan Muhyiddin seorang pemimpin Islam yang mendengar masalah rakyat dan bertindak dengan penuh efisien.
"Semoga pengumuman mengenai pelanjutan ini dapat memulihkan kembali ekonomi negara dengan segera akibat kerugian yang besar disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.
"Kita juga melahirkan penghargaan kepada Hamzah dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang telah membawa isu serta cabaran yang dihadapi pengusaha komuniti dalam industri yang memerlukan tenaga kerja asing sejak sekian lama kepada perdana menteri," katanya.
Tambahnya, kedua-dua menteri itu juga telah mendengar rintihan peniaga yang terkesan akibat kekurangan tenaga kerja dalam sektor tertentu dan memahami keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja asing.
#Imigresen
#pati
#ekonomi
#rakyat
#peniaga
#industri
#Muhyiddin Yassin
#Saravanan
#Pelan Rekalibrasi
#Perdana Menteri
#Parti Perikatan India Muslim Malaysia
#Iman