Pelan Perak Sejahtera 2030 siap Februari 2022
Abd Razak Mohd Ali
Disember 13, 2021 10:38 MYT
Disember 13, 2021 10:38 MYT
IPOH: Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 29 Mac 2021 dijangka siap pada Februari 2022.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelan pembangunan itu dibangunkan berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai.
Menurutnya, fasa pertama telah dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan.
“Dua siri bengkel telah dianjurkan dan pada fasa ini, visi, misi, teras strategik dan nilai bersama telah dimuktamadkan,” katanya ketika menjawan soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu - Chenderiang) pada persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.
Saarani berkata, fasa kedua pula telah dilaksanakan melibatkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, inisiatif strategik, sub-inisiatif strategik dan pelan tindakan mengikut portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah dihasilkan pada fasa ini.
“Proses pemetaan dan penjajaran pelan-pelan pembangunan sedia ada dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 turut dijalankan,” ujarnya.
Kata beliau, kini, penyediaan Pelan Perak Sejahtera 2030 berada dalam fasa ketiga iaitu melibatkan libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah.
“Fasa ini melibatkan pembangunan inisiatif strategik dan program serta pelan tindakan mengikut daerah pentadbiran di Negeri Perak,” tambahnya.
Beliau memberitahu, pada fasa keempat pula akan melibatkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.
Katanya, pelan itu berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.
“Oleh itu, pelan ini dibangunkan dengan menggarap pelan-pelan sedia ada termasuklah Rancangan Pembangunan 5 tahun Malaysia (RMK), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan lain-lain rancangan yang relevan,” jelasnya.
“Justeru, pelan ini akan menggariskan strategi-strategi yang berpandukan kelebihan dan potensi Negeri agar dapat menyokong pengembangan industri tradisional, ekonomi digital, jaminan keselamatan makanan, pelancongan serta memacu kemunculan industri baru atau emerging industry seterusnya menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Paul Yong Choo Kiong (Bersatu - Tronoh), Saarani berkata, selain mengambil kira pelan serta rancangan pembangunan sedia ada, Pelan Perak Sejahtera 2030 juga mengambil kira situasi semasa seperti pandemik COVID-19.