Pelan Perak Sejahtera 2030 akan terus dijayakan walau kerajaan bertukar - MB Perak

Israr Khalid
Februari 22, 2023 04:20 MYT
Saarani menjangkakan pertambahan sekurang-kurangnya 50,000 penduduk baharu di Tanjung Malim menjelang 2027. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin Pelan Perak Sejahtera 2030 yang telah dilancarkan akan terus dijayakan walaupun kerajaan bertukar.
Ini kerana jelasnya, proses pembangunan pelan tersebut dibuat dengan melibatkan semua pihak berkepentingan dari kerajaan mahupun pembangkang ketika pentadbiran terdahulu.
“Bila saya jadi Menteri Besar baharu di bawah kerajaan yang baharu, mesyuarat exco yang pertama saya sudah maklumkan dan kesemua 10 orang exco bersetuju kita akan teruskan.
“Semasa kita bangunkannya, DAP, Amanah dan PKR yang pada ketika itu merupakan pembangkang juga terlibat jadi tiada masalah untuk mereka terus menyokong dan bersama mendukung serta menjayakan pelan ini,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 itu, negeri tersebut akan dibangunkan menjadi sebuah negeri perindustrian, menjadikan Proton City di Tanjung Malim sebagai batu loncatan.
Dengan pelaburan berjumlah RM32 bilion untuk membangunkan hab otomotif itu, Saarani menjangkakan pertambahan sekurang-kurangnya 50,000 penduduk baharu di Tanjung Malim menjelang 2027 apabila berpindahnya kakitangan kilang Proton dari Shah Alam ke daerah itu.
Beliau juga melihat pembangunan itu juga akan memberi limpahan manfaat kepada kawasan sekitarnya seperti Slim River, Bidor dan Tapah.
Pelan Perak Sejahtera 2030 akan terus dijayakan walau kerajaan bertukar - MB Perak
#Agenda Awani #Pelan Perak Sejahtera 2030 #Saarani Mohamad #kerajaan bertukar
;