Pelan penyuraian trafik laluan Gua Musang-Kuala Krai mulai esok - JKR

Bernama
April 14, 2023 21:07 MYT
JKR akan membuat laluan penyuraian trafik bermula esok hingga 2 Mei depan sebagai inisiatif menampung jangkaan pertambahan mendadak kenderaan yang menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lipis sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri. - BERNAMA
GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat laluan penyuraian trafik bermula esok hingga 2 Mei depan sebagai inisiatif menampung jangkaan pertambahan mendadak kenderaan yang menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lipis sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.
Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool berkata jalan alternatif dibuat susulan kerja-kerja pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) telah meliputi keseluruhan jalan asal laluan Gua Musang-Kuala Krai.
Beliau berkata pelan penyuraian trafik berkenaan akan menjadikan perjalanan lebih panjang sejauh dua kilometer (km), namun dilakukan bertujuan mengurangkan konflik melintas dan menyeberangi jalan dengan aliran trafik bertentangan.
"Kita akan mulakan (malam ini) untuk membuat dan memasang halangan di simpang-simpang berkenaan supaya lebih banyak jalan sehala," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek LTU, di sini hari ini.
Ahmad Redza berkata laluan penyuraian trafik itu akan membantu pengguna menggunakan jalan yang mempunyai mempunyai piawaian yang sama seperti jalan utama sebelum ini, namun lebih selamat ketika kecemasan memandangkan laluan alternatif tersebut mempunyai bahu jalan untuk berhenti.
"Kita terpaksa mengadakan jalan alternatif yang standardnya sama dengan sebelum ini (iaitu) dua lorong, satu hala 3.5 meter dua hala tujuh meter.
"Jadi maknanya kalau pemandu kenderaan itu datang dari Lembah Klang walaupun jalan lencongan, standard dia masih sama. Cuma jauh sikit kalau ikut jalan asal empat kilometer tetapi ikut jalan alternatif enam kilometer, lebih kurang bertambah dua kilometer," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan aliran trafik berkemungkinan mengalami kesesakan terutama pada musim perayaan dan menasihati pengguna agar memandu dengan cermat apabila melalui jalan yang padat dengan kenderaan.
"Memang akan ada sedikit kesesakan terutamanya pada musim perayaan tapi kita harap pemandu akan dapat bersabar, ikut peraturan dan sebagainya. Insya-Allah kita akan selamat sampai cuma kita lebih sikit dalam dua kilometer ," katanya.
-- BERNAMA
#laluan Gua Musang-Kuala Krai #Jabatan Kerja Raya #penyuraian trafik #JKR
;