Pelan Penyatuan Nasional adalah proses ke arah budaya politik baru - Saifuddin
Astro Awani
Januari 30, 2014 13:02 MYT
Januari 30, 2014 13:02 MYT
Pelan Penyatuan Nasional yang sedang diteliti oleh kabinet dilihat sebagai sebahagian daripada proses ke arah budaya politik baru yang akan menjadikan amalan demokrasi di negara ini matang dan progresif, kata Datuk Saifuddin Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhaan Global (GMM) itu bagaimanapun akur bahawa proses berkenaan akan mengambil masa dan akan berdepan pelbagai cabaran namun berharap ia mendapat kerjasama semua pihak untuk menjayakannya.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia khususnya ahli politik dari kedua belah pihak serta mereka yang berada di tengah (belia, ahli akademik, profesional, teknokrat, usahawan, media dan masyarakat sivil) supaya mendukung proses ke arah Malaysia yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bahawa mesyuarat mingguan kabinet meneliti pelan berkenaan yang sedang disusun bagi menyatukan semula masyarakat namun menegaskan ia bukan satu usaha ke arah kerajaan perpaduan.
Dalam kenyataannya itu, Najib turut menyeru semua pihak untuk sama-sama berhenti daripada menyebarkan pembohongan dan fitnah serta menamatkan budaya politik kebencian.
Saifuddin optimis apa yang hendak dicapai oleh kerajaan itu praktikal dan boleh dilaksanakan kerana ia menyeluruh dan merangkumi rangka kerja yang luas dan strategik, merujuk kepada empat tunggak pelan berkenaan iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.
Beliau juga melihat pelan itu progresif kerana berikrar mempertahankan prinsip demokrasi termasuk kebebasan bersuara. Selebihnya, kata Saifuddin, pelan itu melibatkan semua pihak melalui rundingan termasuk dengan suara akar umbi dan belia.
"Ini (juga) satu cara baru mentadbir kerana lebih inklusif dan membuka kemungkinan kerjasama dwipartisan antara BN dan PR," katanya.
Saifuddin menyifatkan pengumuman Najib itu kena pada masanya dan telah ditunggu-tunggu oleh banyak pihak selepas pertama kali disebut dalam ucapan Perdana Menteri meraikan kemenangan BN pada malam keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei tahun lalu.
Ia juga menepati kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang menunjukkan 67 peratus responden mahu melihat BN dan Pakatan Rakyat bekerjasama atas isu-isu pembinaan bangsa.
#amalan demokrasi
#budaya politik baru
#GMM
#matang
#Najib Tun Razak
#Pelan Penyatuan Nasional
#progresif
#Saifuddin Abdullah
#umcedel