Pelan Penjana KPT-CAP mampu lahir tenaga mahir segera

Astro Awani
September 29, 2020 16:26 MYT
Melalui latihan bawah pelan KPT-CAP, pihak industri akan memperoleh pekerja yang berkemahiran dalam kadar segera. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) - Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) mampu merancakkan ekonomi domestik seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azali Mohamed, berkata program yang diperkenalkan bawah KPT-CAP mampu melahirkan tenaga kerja kompeten dalam masa singkat.
Katanya, pendekatan 'Place and Train' akan membolehkan graduan menempatkan diri dalam industri secepat mungkin dan melengkapkan diri dengan kemahiran kerja sekali gus memberi nilai tambah kepada pendidikan diterima di universiti.
“Sebagai contoh, jika seseorang graduan itu belajar bidang pengaturcaraan komputer di universiti, dia berpeluang meningkatkan lagi kemahiran menerusi latihan yang disertai di PENJANA KPT-CAP.
“Seterusnya mereka mungkin berpeluang bekerja di syarikat terkemuka selepas mendapat pendedahan pihak industri atau membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya mengulas mengenai Pelan PENJANA KPT-CAP yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
BACA: KPT sasar 20,000 graduan manfaat Penjana KPT-CAP
Penjana KPT-CAP yang dijadualkan bermula pada Oktober ini akan dikendalikan oleh ahli akademik, pengamal dan pemain industri di institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara, bertujuan membantu graduan yang masih menganggur pada 2019 dan mereka yang telah menamatkan pengajian pada 2020.
Pelan yang menerima peruntukan RM100 juta bagi menangani isu pengangguran graduan itu merangkumi tiga subprogram iaitu skim latihan dan penempatan, keusahawanan dan ekonomi gig.
Mengulas lanjut, Azali berkata, kini pasaran kerja memerlukan pekerja yang berdaya saing dan mempunyai pelbagai kemahiran.
Melalui latihan di bawah pelan itu, katanya pihak industri akan memperoleh pekerja yang berkemahiran dalam kadar segera.
“Tidak mustahil juga program ini dapat melahirkan usahawan yang lebih kreatif terutama dalam dunia pemasaran digital dan ekonomi gig,” katanya.
Dalam pada itu, Azali berharap supaya program sedemikian dianjurkan secara berterusan dalam usaha mengatasi isu pengangguran graduan.
“Program ini mampu memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 graduan, namun secara keseluruhan seramai 116,161 graduan 2019 dan tahun ini yang perlu diberi perhatian terutama ketika masa sukar seperti sekarang," katanya.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #sekolah #kerajaan #PENJANA #KPT-CAP #'Place and Train #PENJANA KPT-CAP
;