Draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 diserah kepada Zambry
Afiezy Azaman
Februari 27, 2025 11:30 MYT
Februari 27, 2025 11:30 MYT
Zambry (empat, kiri) menerima draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 daripada anggota kumpulan pakar dilantik yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh sembilan bulan. - Foto KPT
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara rasmi menerima draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035), menandakan bermulanya langkah baharu dalam pembangunan sistem pendidikan tinggi negara.
Pelan ini, yang dirangka oleh Kumpulan Pakar PPTM 2025-2035 diketuai Datuk Prof Emerita Dr Asma Ismail, disiapkan dalam tempoh sembilan bulan melalui penyelidikan dan sesi libat urus bersama lebih 8,226 pihak berkepentingan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata, rangka tindakan (blueprint) pendidikan tinggi negara yang baharu itu bakal dibawa ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
"Pembangunan rangka tindakan ini melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam sembilan bulan, satu tempoh yang jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua tahun.
"Proses penyelidikan ini turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta lebih 22 penulis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM)," menurut KPT.
Sementara itu, Zambry berkata, pelan tersebut adalah hasil usaha pakar tempatan tanpa penglibatan perunding asing, membuktikan keupayaan Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.
"PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global.
"Ia juga menuntut komitmen daripada kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dalam landskap pendidikan global," katanya dalam kenyataan itu.
KPT memaklumkan, pelaksanaan pelan ini dijangka memperkukuh inovasi, kebolehpasaran graduan, serta pemerkasaan akademik dan industri, sekali gus membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
#Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035
#Zambry Abd Kadir
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#pendidikan