Pelan Pendidikan Tinggi dibentang Mac tahun ini

Rahimah Abdullah
Januari 25, 2015 14:32 MYT
ASMAH: Kementerian masih mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam. - Sumber Foto jpt.moe.gov.my
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025 kini dalam proses penilaian akhir dan dijangka dapat dibentangkan Mac depan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Asmah Ismail berkata, setakat ini, Kementerian Pendidikan masih membuka peluang kepada orang ramai untuk memberi cadangan dan maklum balas mengenai pelan pembangunan itu.
Asmah berkata, peranan inovasi terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara perkara utama yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Pengajian Tinggi.
Ia berikutan inovasi menjadi satu keperluan pembangunan pendidikan untuk jangka masa panjang.
“Kementerian masih mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam untuk mengemukakan sebarang idea dan cadangan bagi dimasukkan dalam pelan itu.
“Pelan ini akan menentukan bentuk graduan yang kita mahu lahirkan, selain menggilap bakat pelajar dan juga pensyarah,” beliau berkata selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Dekolonisasi dan Isu Kepimpinan di kampus Universiti Nottingham Malaysia, Semenyih.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025 merupakan kesinambungan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan pada 2007.
Ia dibentuk sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Prasekolah hingga lepas menengah) 2013 - 2025 dan Rancangan Malaysia ke-11.
#Asma Ismail #negara #Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia #pendidikan tinggi #standard #tingkat
;