Pelan Pemulihan Negara perlu tumpu usaha tangani peningkatan kes COVID-19 - Tun M
Nickyson Nyambar
Jun 28, 2021 23:12 MYT
Jun 28, 2021 23:12 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini disifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai jadual waktu tanpa penjelasan kukuh mengenai kaedah menangani COVID-19.
Dr Mahathir berkata, PPN hanya jadual mengenai pemulihan negara berdasarkan angka kes baharu COVID-19 dan tarikh bila lockdown atau sekatan pegerakan akan dilonggarkan.
"Bagaimana pengurangan (kes COVID-19) akan dicapai dalam tempoh yang dinyatakan tidak dijelaskan. Virus itu mungkin akan terus menular di dalam negara di sebalik kewujudan jadual waktu berkenaan," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian menerusi perkongsian di laman blog dan Twitternya @chedetofficial malam ini.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya menjelaskan lebih lanjut berkenaan langkah menangani peningkatan kes dalam satu jangka masa tertentu.
"Ketika ini kita melihat peningkatan dari segi jumlah kes baharu. Apabila jumlah kes menurun kepada 4,000 lebih, kita percaya ia disebabkan strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Bagaimanapun, angka itu kemudiannya meningkat semula. Pada 18 Jun, kes baharu yang dicatatkan adalah melebihi 6,000 kes. Angka ini nampaknya tidak selaras dengan apa yang dilaksanakan," katanya.
Ujar beliau, kerajaan perlu mengkaji situasi semasa termasuk kepatuhan orang ramai terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
"Sebenarnya pelan pemulihan ini sepatutnya memberi fokus pada cara mengurangkan jumlah kes baharu. Kita tahu apa langkah yang perlu diambil.
"Kita tahu, sebagai contoh, SOP adalah bertujuan untuk mengurangkan penularan pandemik ini. Kita juga tahu perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah bertujuan untuk mengurangkan penularan kes.
"Tetapi peningkatan jumlah kes baharu menandakan SOP dan PKP (sedia ada) tidak efektif," jelasnya.
Muhyiddin pada 15 Jun lalu mengumumkan PPN yang menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Beliau dilaporkan berkata, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
#Pelan Pemulihan Negara
#PPN
#Tun M
#Dr Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#jadual waktu
#tanpa penyelesaian