Pelan Pemulihan Negara: Kekalkan moratorium dan geran untuk usahawan PKS

Rahimah Abdullah
Jun 15, 2021 11:05 MYT
Chris Danial Wong antara lain berkata, geran dan bantuan untuk pendigitalan dalam perniagaan perlu dikekalkan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara untuk keluar dari pandemik COVID-19 yang bakal dirangka kerajaan perlu mengekalkan moratorium kepada usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam masa sama, Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Danial Wong berkata, geran dan bantuan untuk pendigitalan dalam perniagaan perlu dikekalkan.
"Kita berpendapat bahawa moratorium harus dikekalkan untuk exit strategy (strategi keluar) kerana rata-rata aliran tunai para PKS adalah tenat dan walaupun pasaran dibuka semula, namun ia memerlukan masa untuk membina semula aliran tunai.
"Kedua, geran atau bantuan untuk para PKS meneruskan pendigitalan mereka harus dikekalkan supaya apabila pasaran dibuka kelak ia tidak diabaikan sahaja," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Selasa.
BACA: Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan keluar pandemik COVID-19 - PM
Selain itu, strategi keluar berkenaan perlu menjelaskan mengenai rentas negeri dan cara bagaimana pelancong boleh datang ke Malaysia dalam memulihkan ekonomi negara.
Ketika ini katanya, pakej bantuan kepada usahawan PKS dalam pendigital disifatkan masih tidak mencukupi.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan perlu menyediakan geran yang berlainan untuk usahawa memasuki fasa PKP yang seterusnya.
"Kita harus memberi tumpuan kepada pelabur asing atau pelancong asing yang akan datang kelak nanti. Itu harus diletakkan dalam Pelan Pemulihan Negara," ujarnya.
#Astro #Astro Awani #PKS #ekonomi #usahawan #pelancong #Malaysia #COVID-19 #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #rentas negeri #Moratorium
;