Pelan Pemulihan Negara: Felcra kerjasama dengan MOF, MKD, KPLB
Bernama
Jun 16, 2021 06:00 MYT
Jun 16, 2021 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menjalankan usaha berhubung Pelan Pemulihan Negara.
Pengerusi Felcra Yamani Hafez Musa berkata Felcra memberikan komitmen untuk memastikan keperluan asas demi kesinambungan peserta dan masyarakat sekeliling setiap projek Felcra diberikan keutamaan.
"Ia agar mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutamanya mereka yang hilang punca pendapatan dapat disantuni secara bersasar dan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober dan ia merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
"Usaha kolaborasi dengan pihak berwajib untuk inisiatif Program Vaksinasi Berkelompok juga telah dimulakan di 38 kawasan penempatan tersebut supaya 112,337 peserta dan ahli keluarga di luar bandar menerima vaksinasi," katanya.
Sepanjang empat fasa Pelan Pemulihan Negara itu, Felcra Berhad boleh dihubungi melalui talian Hotline 1-800-22-5050 atau 03-4145 5000.
-- BERNAMA
#FELCRA
#MOF
#MKD
#COVID-19
#vaksin
#Yamani Hafez Musa
#KPLB
#PKP
#program vaksinasi
#Kementerian Pembangunan Luar Bandar