Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 perkukuh ekosistem pembangunan belia - Ahmad Zahid
Bernama
November 5, 2024 18:17 MYT
November 5, 2024 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 yang dilancarkan hari ini dijangka memperkukuhkan ekosistem pembangunan belia Malaysia menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 menyasarkan peningkatan gaji belia kepada RM3,152 dan pengurangan kadar pengangguran kepada 6.5% menjelang 2030.
- Pelan ini bertujuan memperkukuh peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, dan literasi kewangan belia.
- Pelan merangkumi tiga matlamat utama dan melibatkan 13 kementerian serta 76 rakan kolaborasi.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia berkata antara sasaran yang ditetapkan menjelang 2030 termasuk peningkatan purata gaji belia kepada RM3,152 serta pengurangan kadar pengangguran belia kepada 6.5 peratus.
Pelan ini juga menyasarkan penurunan peratusan belia yang tidak bekerja, tidak berpendidikan, dan tidak mengikuti latihan (NEET) kepada 8.9 peratus.
"Pelan ini akan menjadi garis panduan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian lain, jabatan dan agensi, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi belia," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melancarkan pelan berkenaan dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli.
Secara keseluruhannya, Ahmad Zahid berkata pelan berkenaan bertujuan memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup belia melalui perluasan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pendigitalan, kelestarian, serta literasi kewangan dan pengurusan kredit.
"Pelan ini berasaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan bertujuan menyokong visi RMK13 bagi Malaysia yang lebih maju dan mampan," katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan tersebut merangkumi tiga matlamat utama, 10 strategi, dan 24 inisiatif yang melibatkan 13 kementerian sebagai peneraju, dengan kerjasama 76 rakan kolaborasi.
Tiga matlamat tersebut adalah menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia, serta mempergiat pembangunan mampan.
-- BERNAMA
#Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia
#ekosistem pembangunan belia
#Ahmad Zahid Hamidi
#purata gaji belia